Thursday, 2 June 2011

Perniagaan

Bidang perniagaan memang aku menyukainya sedari dulu. Dan pernah menceburi bidang ini secara kecil-kecilan. Dulu aku pernah berjaja di kawasan tapak pembinaan rumah, dekat tempat tinggalku. Aku dilatih oleh emakku untuk berniaga. Cuma menjual minuman kepada pekerja-pekerja. Bayangkan dalam usia yang masih kecil aku sudah diasuh dan dilatih untuk mencari rezeki. Minuman sejuk yang disimpan pada plastik kecil dan harga hanyalah 20 sen seingatku. Laku dan sentiasa habis. Itulah rutin yang ku buat sehinggalah emak menyuruhku berhenti. Itulah kali pertama aku menceburi bidang penjualan. Memang waktu itu aku belum mengerti mengenai strategi jualan, komunikasi dan menarik perhatian pelanggan. Tetapi asuhan tersebut sedikit sebanyak mengajar aku. MLM atau Multi level Marketing juga aku pernah menceburi seperti Omegatrend, Be Young, CNI, Elken, Yes 2 You, Susen, dan banyak lagi. Semuanya kecundang namun yang aku sempat bertahan lama dan memperolehi sedikit keuntunggan adalah dalam Elken. Aku mendapat pangkat dalam masa yang singkat dan mempunyai kaki ( downline ) yang banyak.

Sewaktu cuba mengejar rezeki ini, aku membuat promosi siang dan malam, waktu bekerja sesama rakan setugas, sambil menerangkan produk, kaedah pemasaran dan kelebihan jika mengikuti perniagaan ini. Selepas waktu kerja, akan disambung semula untuk menyusul yang ada membuat temujanji. Memang berbaloi dan menyeronokkan walau letih. Seluruh Keluarga ku jemput masuk menjadi downline, orang yang baru dikenali juga ku perkenalkan. rakan –rakan lama juga dihubungi, teman sekampung dikunjungi. Strategi pemasaran difahami dan diteliti, produk yang dijual juga mesti diketahui. Membuat seminar di hotel-hotel dan ke rumah-rumah memang suatu pengalaman yang menarik. tetapi semua itu terhenti bila komitmen keluarga dan kerja semakin menuntut. Lama kelamaan akhirnya tewas juga. Namun bersyukur dengan rezeki yang ku perolehi.

Setelah itu, aku hanya cuba-cuba mempromosikan barangan teman-teman, membantu menjadi orang tengah tanpa ku meminta imbuhan. Sekadar untuk mencuba skill komunikasi dan pasaran. Sekarang ini siber semakin canggih, banyak pautan-pautan yang boleh mempromosikan secara lebih meluas lagi seperti Web, blog, tweeter ataupun Facebook dan sebagainya. Cara mencari pelanggan semakin mudah asalkan barangan yang dijual tersebut diminati dan barangan baru. yang diminati tidak mengira masa seperti kain, beg tangan dan sebagainya. NAmun apa yang penting adalah strategi. Ku cuba memahami dan mengaplikasikan konsep atau prinsip 4P iaitu perancanaan, Perancangan, Pelaksanaan dan akhirnya Pemantauan. semua ini amat berguna bagi mencapai hala tuju. Berniaga dalam masa pendek, sederhana atau jangka masa panjang. semua terpulang pada kita. Perniagaan pun hendaklah mempunyai modal, samaada bermula dari kecil-kecilan atau terus kepada projek yang besar. Asal ada modal semua boleh jadi. “Sepintar mana pun seseorang itu jika tiada modal akan susah juga” itulah kata-kata ayah mertuaku. Beliau memang salah seorang ahli perniagaan.

Bidang Forex juga sempat ku pelajari. perkara ini adalah tanpa dirancang. waktu itu ku duduk santai bersama teman, kemudian datang seseorang bertanya mancis. Cerita pun bermula dan akhirnya masuk ke tajuk Forex. Temu janji dibuat dan kami diajar secara percuma selok belok bermain Forex. Ku pelajari dengan tekun bagaimana untuk membeli dan menjual. Memang mendatangkan hasil. Sayangnya modal yang digunakan hanyalah berupa virtual money, iaitu khusus untuk belajar sahaja sebelum bermain dengan wang betul. Tetapi ketika hendak bermain sebetulnya, duit yang hendak digunakan pun terpaksa digunakan bagi keperluan lain. Hinggalah terhenti seketika hingga sekarang. Ku harap ‘Master’ tempat ku belajar itu dapat ku hubungi semula.

Nah sekarang minat aku timbul semula lebih-lebih lagi aku ada berjumpa dengan beberapa orang teman dan orang yang memang dalam perniagaan, Nasihat dan pandangan diberikan, kaedah diterangkan, etika juga ada disentuh. perkara yang mula-mula ku usahakan adalah mencari dana, dan mencari tempat yang boleh ku perolehi dengan harga yang baik. Lawatan ku ke Vietnam yang lalu juga ku cuba mencari kaki disana untuk urusan perniagaan secara kecil-kecilan seperti kain, tudong dan sebagainya. Ada saranan juga pergi ke Bangkok sebab disana barangannya banyak yang baru dalam pasaran dan belum menembusi di Brunei. Semoga usaha ini akan mendatang hasil. Ku perlukan sokongan keluarga terutama Isteri. Agar diri difahami. Kebahagiaan keluarga dan memenuhi impian keluarga adalah tajuk utama.

Memang tidak dinafikan aku juga menghadapi beberapa masalah dan karenah dari perniagaan itu. Duit modal habis lesap, dan ditagih oleh pelanggan. Namun harus dihadapi dan diterangkan mengenai kerugian itu.

Vietnam, Thailang, China merupakan tempat yang biasa dikunjungi orang Brunei untuk membeli belah dan untuk mencari barangan perniagaan. Namun kali ini, jika melancong akan diusahakan membawa semula rezeki. Aku juga mahu mengubah nasib diri. Mengikuti jejak langkah abangku dalam perniagaan. mempunyai kecekalan dan ketabahan hati. Cuma sejauh mana perniagaan secara kecil ini akan diambil perhatian. Semoga apa yang telah dan sedang dilaksanakan akan membawa hasil.

Sekarang mengapa aku terbuka mata semula untuk mencuba bidang perniagaan secara sampingan? Tidak lain hanyalah untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan keluarga disamping untuk menambah pendapatan. Ku rasa awda mengerti perkara itu. Sebetulnya juga aku sebelum ini cuba mengejar cita-cita untuk menyambung semula pengajianku, namun rezekiku belum tiba mengenainya. Kekecewaan sangat terkesan dihati. Hinggalah aku merajuk untuk bekerja dengan lebih komitmen yang tinggi. Namun fikiranku berubah sedikit demi sedikit agar jangan putus asa, serta mungkin juga rezekiku untuk belajar kembali tiada tetapi ada rezeki lain yang sedang menunggu atau hikmahnya yang anak-anakku akan menyambung pengajian tinggi. Amin

No comments:

Post a Comment